Pages

Monday, September 27, 2004

Siri Ramadhan 2

Siri 2

Bulan Ramadhan yang datangnya setahun sekali ini sudah tentunya menjanjikan pelbagai bentuk ganjaran bagi mereka yang berpuasa dengan taat - yakni hanya mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Mengenangkan perkara inilah maka hati kita dilanda keseronokkan atau kerana tak sabarnya kita menerima kedatangan bulan ini.

Ramadhan bagi umat Islam adalah merupakan satu bulan yang cukup istimewa. Bulan ini biasanya dikaitkan dengan makanan yang lazat dan aneka rasa. Malahan setengah-setengah jenis kueh mueh memang berkait rapat dengan bulan Ramadhan dan hanya dihidangkan pada bulan tersebut - menunjukkan istimewanya bulan ini, maka hidangannya juga mesti istimewa, lain dari hari-hari biasa. Bulan ini juga dikaitkan dengan keuntungan ekonomi yang berlipat ganda. Bagi masyarakat melayu di Malaysia, bulan ini menyediakan peluang perniagaan yang cukup baik. Juallah apa sahaja asal namanya makanan pasti habis dan menguntungkan. Umat Islam juga ghairah berbelanja pada bulan ini membeli juadah untuk berbuka puasa. Setiap seorang ternanti-nanti waktu berbuka puasa sehingga kemungkinan rancangan TV dan radio yang paling diminati ramai pada bulan tersebut ialah pengumuman waktu berbuka puasa dan imsak bagi setiap negeri. Bila masuk sahaja waktu berbuka maka seluruh ahli keluarga berkumpul mengelilingi meja yang penuh dengan berbagai jenis makanan dan minuman. Bagi orang-orang bujang mereka juga seronok berbuka puasa di mesjid-mesjid yang mengadakan majlis berbuka puasa untuk orang ramai. Mesjid-mesjid di kampung dan kota juga menyediakan bubur lambuk kegemaran ramai. Orang ramai pasti berpusu-pusu dengan bekas tupperware masing-masing selepas waktu asar untuk mendapat bahagian bubor masing-masing. Pendekkata bulan ramadhan adalah bulan untuk menjamu selera.

Di samping itu bulan Ramadhan juga merupakan bulan untuk bersedia menyambut hari raya. Malahan sekarang ini khabarnya tempahan untuk pakaian Hari Raya telah ditutup tiga bulan sebelum bulan Ramadhan lagi! Gedung- gedung perniagaan juga tidak ketinggalan mengambil peluang dari kedatangan bulan Ramadhan untuk melancarkan jualan murah Hari Raya. Orang ramai akan menghabiskan banyak masa membeli belah di gedung- gedung dan pasar raya. Baru sehari dua umat Islam berpuasa suasana berhari raya sudah dapat dirasakan. Kad-kad ucap Selamat Hari Raya juga mula membanjiri pasaran dengan pelbagai message untuk merangsang umat Islam berutus kad hari raya bukan sahaja kepada rakan, sanak dan famili tetapi juga kepada 'tunang' dan 'kekasih'. Suasana beraya semakin hidup dengan dendangan hari raya yang 'evergreen'. Pendekkata umat Islam tenggelam dalam keseronokkan menyambut kedatangan hari raya dalam bulan Ramadhan.

Kalau inilah 'farhan' atau keseronokkan yang kita kecapi di bulan Ramadhan maka nyatalah kita telah menyeleweng dari ruh Ramadhan yang sebenar. Kalau inilah bentuk keseronokkan yang kita tunggu-tunggu maka nyatalah kita telah menyimpang jauh dari apa yang dituntut dari kita oleh Allah swt sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah saw. Rasulullah saw dan para sahabat seronok dan rancak beribadat pada bulan Ramadhan sedang kita seronok dan rancak berpesta dan berhibur pada bulan itu. Rasulullah saw dan para sahabat meningkatkan ibadat mereka apabila bulan Ramadhan sampai ke penghujungnya dengan ibadat qiam dan i'tikaf sedang kita semakin Ramadhan sampai ke penghujungnya kita semakin tenggelam dalam keseronokkan berhibur, bersiap untuk menyambut kedatangan Hari Raya. Bila tiba 1 Shawal kitalah yang paling gembira kononnya dengan tidak disedari Hari Raya adalah untuk mereka yang berjaya mengisi makna Ramadhan dalam ertikata yang sebenar-benarnya.

Marilah kita bertekad pada bulan Ramadhan kali ini untuk mengisi makna Ramadhan yang sebenar dan seterusnya menikmati kemenangan yang dijanjikan bagi orang-orang mu'min apabila menjelangnya syawal.

Sabda Rasulullah saw: Bagi orang-orang yang berpuasa dua kegembiraan. Kegembiraan sewaktu berbuka (berhari raya) dan sewaktu menemui Tuhannya.

Semuga Allah beri kita kekuatan untuk menjalani ibadat berpuasa sebagaimana yang telah diamalkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat serta menghindari kita dari 'lapar dan dahaga' yang sia-sia. Ameen Ya Rabb....

No comments: