Pages

Sunday, October 10, 2004

Siri Ramadhan 4

Ni bukan PLKN tapi PLKD (Program Latihan Khidmat Diri)
Siri 4

Ibadah puasa merupakan suatu institusi latihan yang wajib dilalui oleh setiap manusia muslim. Institusi ini membekalkan latihan yang sangat dan terbukti keberkesanannya. Siapapun yang mendaftar diri kemudian melalui modul-modul yang ditetapkan akan keluar sebagai pelatih berjaya dan bersedia untuk menempuh cabaran-cabaran kehidupan di dalam menjunjung perintah Allah swt.

Institusi ini memulakan sesinya pada 1 Ramadhan setiap tahun hijriah dan tempoh latihannya memakan masa selama sebulan penuh. Penyertaan adalah terbuka kepada setiap muslim lelaki dan wanita malahan diwajibkan bagi semua yang melayakkan dirinya sebagai muslim. Sinopsis kursus yang disediakan secara ringkasnya meliputi dua aspek penting iaitu kawalan/pendisiplinan diri pada siang hari dan pembentukan/pembinaan rohani pada sebelah malamnya. Kursus adalah dalam bentuk yang intensif dan kedua-dua aspek latihan ini adalah dalam bentuk yang bersepadu. Peserta kursus dikehendaki melakukan perkara-perkara berikut:

1. Menahan diri dari makan, minum dan perhubungan jenis suami-isteri
pagi sampai senja
2. Menahan semua pancaindera dari melakukan sesuatu yang tidak
dibenarkan oleh syara' (menjaga mata, telinga, lidah, sentuhan,
appendages - kaki/tangan)
3. Mengawal fikiran dari memikirkan sesuatu yang tidak baik
4. Mengawal diri dari sifat-sifat yang buruk (mazmumah)
5. Menjaga, memperbaiki serta mempertingkat amalan-amalan fardh
serta memperbanyakkan amalan-amalan nawafil (solat sunat berupa
terawikh, tahajjud dsbnya)
6. Membaca serta mentadabbur al-Quran
7. mengeluarkan sedeqah yang wajib (zakat fitrah dan mal) dan sunat.
8. Mengurangkan tidur
9. Memperbanyakkan i'tiqaf

Peserta juga diberi peluang untuk menikmati iftar (berbuka puasa) dan suhur masing-masing pada sebelah maghrib dan sebelum masuknya fajar yang turut dikira dalam penilaian kursus.

Di samping itu pada 10 malam terakhir ada satu malam yang dirahsiakan (malam yang ganjil mengikut pandangan sebahagian besar ulama') di mana mereka yang beramal dengan cemerlang pada malam tersebut akan memperoleh 'Lailatulqadr' iaitu mendapat ganjaran sama seperti mereka yang beramal selama 1000 bulan. Ini merupakan insentif yang amat menarik bagi semua peserta kursus.

Peserta yang berjaya melalui kursus ini dengan cemerlang akan mendapat rahmat, keampunan dan jaminan kebebasan dari api neraka Allah swt. Di akhir kursus semua peserta yang berjaya akan diraikan dalam majlis Eid Fitr (Hari Kejayaan) di mana mereka beramai-ramai bertakbir, bertahmid dan bertasbih dalam suasana penuh syahdu dan keimanan.

Kursus ini wajib dilalui setahun sekali setiap kali tibanya Ramadhan dan semua peserta harus kembali mendaftar diri selama mereka masih hidup kecuali mereka yang dikecualikan oleh syara' (atas sebab-sebab tertentu seperti sakit yang tidak mengizinkan, hilang aqal dll).

Mahu lihat keberkesanan kursus ini sila lihat kepada 'batch' paling cemerlang yang mengikuti latihan yang sama 1400 tahun yang silam (iaitulah Rasulullah saw dan para sahabat radiallahu ajmain).

Saudara-saudari sudah mendaftar diri?

No comments: