Pages

Thursday, January 20, 2005

Bangun..bangun..subuh.

Paling susah nak bangun subuh. Kalo bab bersenam rilek je push up 100x. Angkat dumb bell 10 kg berkali-kali pun tak de hal punya. Tapi ya Allah, nak angkat selimut yang berapa gram sangat la beratnya untuk bangun subuh, tak larat. Payah ke solat tu? bagi aku memang payah tapi kepayahan itu sebenarnya berbaloi dan dapat diatasi perasaan itu sekiranya kita benar-benar faham. Islam bukan sekadar agama tetapi adalah cara hidup. Salah satu cara hidup yang diwajibkan Allah adalah solat. Banyak ayat Al-Quran dan hadis menyebut tentang kewajiban, kelebihan dan azab seksa sekiranya meninggalkan solat. Secara tidak langsung amalan ibadah solat ini dapat membentuk peribadi kita.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:”…dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan kemungkaran”. (al-Ankabut: 45)

Allah dah menyatakan solat dapat mencegah kita daripada melakukan sebarang perbuatan keji dan mungkar. Kita mungkin boleh perhatikan diri sendiri sekiranya antara waktu Solat Subuh dan Solat Zuhur kita masih melakukan maksiat atau perbuatan keji dan mungkar maka perhatikan balik macam mana Solat Subuh kita pagi tadi. Khusyuk ke tak? sempurna ke tak rukunnya? Begitu juga antara waktu Solat Zohor dan Solat Asar. Sekiranya sela masa itu kita melakukan maksiat, renungkan balik Solat Zohor kita tengahari tadi, molek ke tak molek Solat Zohor aku tadi? Dan begitu jugak waktu-waktu yang lain. So sekiranya ada kekurangan perbaiki la lagi solat kita supaya solat diawal waktu, lebih khusyuk dan sempurna. Haa bukan senang tu. Tu pasal la kena mula sejak muda lagi. Jangan la tunggu dah tua, rugi-rugi.

Sabda Nabi S.A.W:
"Solat yang lima dapat diumpamakan sebagai sungai jernih yang mengalir di hadapan rumahmu, kemudian kamu membersihkan dirimu lima kali sehari di dalam sungai tersebut. Rasulullah bertanya, "Apa pendapatmu apakah masih ada kotoran yang melekat ditubuhnya, serentak para sahabat menjawab "tentu saja tidak". Rasulullah s.a.w menyambung, "sesungguhnya solat itu membersihkan dosa-dosamu sebagaimana air sungai yang membersihkan kotoran ditubuhmu". (Hadis Riwayat Muslim)

Banyak lagi kelebihan solat dalam membentuk peribadi seperti menjadikan diri kita seorang yang Mantap jiwa atau berprinsip dan tawaduk. Ini dapat dilihat dan dirasakan dalam hati, jiwa dan dalam diri seseorang yang mendirikan solat dengan ikhlas kerana Allah semata-mata, dari segi membentuk peribadi yang berdisiplin, tegas, tetap hati, berprinsip, bersifat tawaduk (tahu diri/rendah diri dan hati) dan sifat tadarru’ (merendah diri memohon berdoa kepada Allah). Dengan lain perkataan, sembahyang akan membentuk sifat dan akhlak mulia dalam diri orang-orang yang solat. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

”Bahawasanya sembahyang itu adalah penetapan hati (tegas dan berprinsip), (menyuburkan) sifat tawaduk serta tadarru’ (dalam hati dan diri seseorang)…” (HR At-Tirmizi dan An-Nasa’i).
Inilah sedikit yang boleh aku kongsi. Aku pun bukan la pandai @ alim sangat nak cerita hal ni. Aku ada dua puluh sen je so aku bagi la sepuluh sen. Tapi yang lebih penting kita faham dan beramal.

No comments: